~Mari MengiNgatI Allah~

Tuesday, March 10, 2009

~ErtI MelAyu~



Melayu


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenakaBudi
bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan


Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak


Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu,Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)


Dalam sejarahnyaMelayu itupengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara


Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual


Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali


Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri


Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak


Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing


Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut

Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;


Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka


-Nukilan : Usman Awang-

1 comment:

jamal said...

wahai anak ku, pertahan kan lah bangsa melayu , jgn nanti generasi akan datang hanya dapat mencari sejarah bangsa melayu di dalam muzium sahaja HANYA TINGGAL KENANGAN seperti kita sekrg mencari sejarah raja melayu melaka di muzium, bangsa nya hanya tinggal nama, melayu ini indah nama nya, bangsa nya penuh adap sopan jadi pertahan kan lah bangsa, dan guna kan lah ungkapan yg telah di titah kan oleh RAJA MUDA PERAK YAKNI dalam mentakrif kan bangsa melayu iaitu bangsa melayu ini di ikat dengan adat, disimpul dengan bahasa dan di salut dengan ugama. ini lah MELAYU SEBENAR.... TERUS KAN BERKARYA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...