~Mari MengiNgatI Allah~

Thursday, July 8, 2010

Salam Mahardika Buat Warga Baru PMUMS......


Pertama dan selamanya, marilah kita semua memanjatkan setinggi-tinggi kehadrat ALLAH s.w.t.. kerana dengan limpah rahmat dan nikmatnya... kita semua dapat berkumpul dan bertemu di Universiti Malaysia Sabah ini......

Di kesempatan ini, saya mewakili seluruh kepimpinan PMUMS mengucapkan tahniah kepada anda semua kerana berjaya menempatkan diri di salah sebuah Universiti Awam Malaysia atau lebih tepatnya di Universiti Malaysia Sabah. Sedar ataupun tidak, anda semua merupakan adalah antara mahasiswa-mahasiswi yang terpilih untuk daripada kalangan 105,377 calon yang memohon untuk sesi pengambilan dan kemasukan ke 20 IPTA seluruh Malaysia. Maka gunakanlah kesempatan yang ada ini untuk menimba ilmu yang bermanfaat, gunakanlah ruang dan peluang ini untuk meneroka dan menerobos sempadan diri.

Mahasiswa-mahasiswi sekalian.

Saya juga turut ingin mengucapkan selamat datang kepada semua ke dalam Persatuan Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (PMUMS) ini. Sebagai makluman, PMUMS dianggotai oleh semua mahasiswa berdaftar UMS yang terdiri daripada lebih daripada 100 buah kelab dan persatuan daripada pelbagai cabang dan gugusan. PMUMS ini secara umumnya diketuai oleh Majlis Perwakilan Pelajar UMS (MPPUMS) yang terdiri daripada 34 orang, seterusnya merupakan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Kolej-Kolej Kediaman (JAKMAS) sebanyak 7 kolej kediaman di kampus induk dan juga kampus labuan, seterusnya Persatuan Mahasiswa Sekolah sebanyak 13 buah sekolah.
Kita juga mempunyai 93 buah persatuan di kampus induk dan juga sebanyak 54 buah kelab dan persatuan di kampus antarabangsa labuan yang terdiri daripada pelbagai gugusan seperti :

1. Badan Utama (MPPUMS)
2. Badan Kolej Kediaman dan Sekolah (JAKMAS & PM Sekolah)
3. Badan Sukan dan Rekreasi
4. Badan Seni dan Budaya
5. Badan Bela diri
6. Badan Akademik dan Bahasa
7. Badan Sukarelawan
8. Badan Sekretariat-Sekretariat
9. Badan Ketrampilan
10. Badan Keusahawanan
11. Badan Pakaian Seragam

maka saya menyeru kepada semua mahasiswa-mahasiswa baharu UMS untuk bergiat aktif dengan segala aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan di semua peringkat. Gunakan kesempatan ini untuk mengikuti dan menyertai segala aktiviti untuk meningkatkan kemahiran insaniah anda untuk menjadi modal insan yang berkualiti demi negara bangsa yang berjaya.
Mahasiswa-mahasiswi sekalian.

Saya juga berpesan kepada diri saya dan sekalian mahasiswa-mahasiswi UMS agar sentiasa mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran secukupnya sepanjang berada di Universiti, janganlah libatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang akhirnya akan mendatangkan kemudaratan kepada diri anda sendiri dan universiti. Kami di PMUMS begitu komited untuk membangunkan kebolehan dan kemahiran kendiri setiap mahasiswa di samping memastikan kebajikan mahasiswa UMS sentiasa terjaga dan terbela. Untuk itu, kami mengharapkan sokongan dan bantuan daripada semua mahasiswa UMS untuk bersama-sama menggerakkan semangat berpersatuan di UMS ini.

Akhir kata, selamat menempuhi alam baru dalam sejarah hidup anda, selamat menjadi MAHASISWA UMS, dan selamat datang ke dalam keluarga PMUMS. Semoga setiap dari kita berjaya mengharumkan nama Universiti, Negara, Bangsa, Agama yang paling penting nama KELUARGA kita yang tercinta....


Sekian,

MAHARDIKA WARGA,
GEMILANG INSTITUSI.



petikan daripada teks ucapan sempena
Majlis Kepimpinan Mahasiswa sempena
Minggu Suai Mesra UMS sesi 2010/2011..

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...